Kerajaan telah memutuskan supaya Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 dibayar kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan di Gred 56 dan ke bawah sebanyak RM500.00 dan turut dipanjangkan kepada pesara Kerajaan yang memilih skim pencen sebanyak RM500.00
PEGAWAI YANG LAYAK
Pegawai yang layak diberi Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 adalah seperti berikut:
- Pegawai lantikan tetap, sementara dan contract of service;
- Pegawai yang bercuti bergaji penuh;
- Pegawai yang bercuti separuh gaji;
- Pegawai yang bercuti tanpa gaji; dan
- Pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya. Bantuan Khas Kewangan ini akan dibayar oleh agensi yang menerima peminjaman pegawai.
Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 juga dipanjangkan kepada:
- Guru interim;
- Pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya; dan
- Pemandu yang dilantik sendiri oleh Anggota Pentadbiran dan Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 dan Akta Saraan Hakim 1971.
PEGAWAI YANG TIDAK LAYAK
Pegawai yang tidak layak diberi Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 adalah:
- Pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf termasuk pegawai yang memangku, dipinjam/ tukar sementara dan penempatan khas ke Gred Jawatan Utama/ Gred Khas;
- Pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib dalam tempoh 1 Januari 2020 hingga 23 April 2020;
- Pegawai yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam dalam tempoh 1 Januari 2020 hingga 23 April 2020; dan
- Pegawai yang meletak jawatan dalam tempoh 1 Januari 2020 hingga 23 April 2020.
PEGAWAI YANG DITANGGUHKAN BANTUAN KHAS KEWANGAN
Pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib ditangguhkan Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 ini. Pegawai hanya layak diberi Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 sekiranya Pihak Berkuasa Tatatertib mendapati pegawai tersebut tidak bersalah.
PEKERJA SAMBILAN HARIAN (PSH)
Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 sebanyak RM500.00 dipanjangkan kepada PSH yang masih berkhidmat pada 23 April 2020 dengan syarat tempoh kontraknya telah berkuat kuasa sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.
PESARA
- Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 kepada pesara Kerajaan yang memilih skim pencen dan penerima pencen terbitan pada atau sebelum 23 April 2020 di bawah undang-undang pencen akan dibayar sebanyak RM500.00 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.
- Pesara yang dilantik semula secara contract of service dan masih berkhidmat pada 23 April 2020 layak diberi Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 sebanyak RM500.00. Pembayaran sebanyak RM250.00 akan dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan bakinya sebanyak RM250.00 akan dibayar oleh jabatan di mana pegawai sedang berkhidmat.
PEGAWAI MENINGGAL DUNIA DALAM PERKHIDMATAN
Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang meninggal dunia pada 23 April 2020 layak diberi Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 sebanyak RM500.00. Pembayaran kepada mana-mana penerima pencen terbitan yang layak di bawah undang-undang pencen sebanyak RM500.00 akan dibayar oleh jabatan terakhir pegawai berkhidmat.
TARIKH PEMBAYARAN
Bantuan Khas Kewangan Tahun 2020 ini akan dibayar pada 23 April 2020.
Ulasan
Catat Ulasan